Iklaneka

Wednesday, July 8, 2009

PKPIM SAMBUT BAIK KEPUTUSAN KERAJAAN MANSUHKAN PPSMI


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada keputusan kerajaan untuk memansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara berperingkat menjelang tahun 2012 seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


PKPIM menyambut baik keputusan tersebut dan menyifatkan ia sebagai satu interpretasi komitmen kerajaan untuk mempertahan dan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia. Ia juga cerminan sikap kerajaan yang bersedia untuk mendengar dan mengambil pertimbangan sewajarnya terhadap suara rakyat.


PKPIM berpandangan bahawa keputusan tersebut merupakan keputusan yang bijak serta bertepatan dengan usaha untuk mengukuhkan perpaduan nasional melalui Bahasa Kebangsaan.


Keputusan tersebut dianggap sebagai hadiah kepada PKPIM dan seluruh mereka yang telah bertungkus lumus memperjuangkan pemansuhan PPSMI termasuk daripada kalangan pejuang bahasa, tokoh akademik, sasterawan, budayawan, gerakan pelajar dan seluruh rakyat Malaysia.


PKPIM mewakili seluruh pelajar Malaysia terutamanya dari kawasan luar bandar mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia di atas komitmen yang ditunjukkan untuk menyelesaikan permasalahan yang telah berlarutan selama lebih enam tahun ini.


PKPIM merupakan persatuan yang mewakili pelajar dan mahasiswa Malaysia yang terawal menyatakan bantahan dan menggerakkan usaha pemansuhan PPSMI sejak pelaksanaan dasar tersebut pada tahun 2003. Justeru, PKPIM menuntut jaminan kerajaan untuk berpegang pada keputusan tersebut untuk memansuhkan dasar PPSMI ini menjelang tahun 2012.


PKPIM mengulangi komitmen untuk memberi sumbangan yang terbaik kepada pembangunan pendidikan Malaysia khususnya dalam membantu kerajaan mendaulatkan Bahasa Melayu dan memperkasa Bahasa Inggeris di kalangan pelajar keseluruhannya.



MOHD. HILMI BIN RAMLI
Presiden PKPIM
www.pkpim.net

::selanjutnya::

PPSMI dimansuhkan mulai 2012


Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sepenuhnya tiga tahun lagi, demikian diumumkan menteri pelajaran.

Pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, susulan keputusan mingguan jemaah menteri pagi ini, dibuat jam 2.30 di kementeriannya di Putrajaya.


Di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik, sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing.

Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara.

Selain memimpin Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), yang mengepalai demonstrasi besar itu, tokoh sastera Datuk A Samad Said juga menyertai sekumpulan lima Sasterawan Negara membantah dasar itu - mencipta rekod bantahan golongan budayawan Melayu.


Rentetan pelaksanaan PPSMI

19 Julai 2002 - mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Januari 2007 - pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah

Januari 2008 - pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Mei 2009 - kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus buat pertama kali dalam sejarah penentangan dasar kerajaan.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara"

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."

Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansukan sepenuhnya pada 2012.

http://www.malaysiakini.com/news/108063

::selanjutnya::

GMP: Pemansuhan PPSMI satu kejayaan rakyat


Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMI), Datuk Hassan Ahmad menyifatkan keputusan kerajaan memansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) mulai 2012 sebagai satu kejayaan rakyat.

"Rakyat seluruhnya tentu lega dan gembira, kerana pengajarannya di sekolah kebangsaan Cina dan India juga turut dikembalikan kepada bahasa ibunda masing-masing," katanya.

GMI merupakan gabungan badan-badan bahasa, NGO dan parti-parti politik yang ditubuhkan untuk mendesak kerajaan supaya memansuhkan PPSMI.

Isu PPSMI juga turut dibangkit dalam kempen beberapa pilihanraya kecil yang diadakan sebelum ini.

Hassan mengucapkan syabas kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin, yang menteri pelajaran, kerana "berani membuat keputusan yang benar" demi kebaikan masa depan rakyat.

Katanya, PPSMI merupakan satu dasar yang salah dan menyusahkan rakyat serta membazirkan wang untuk kembali kepada dasar asalnya.

"Walaupun pelaksanaan sepenuhnya hingga 2012, tetapi bagi saya ia melibatkan operasi, bukan soal dasar PPSMI," katanya ketika diminta mengulas pengumuman Muhyiddin Yassin mengenai pemansuhan PPSMI hari ini.

Hassan berkata, GMP memberi sokongan penuh kepada beliau sehingga proses seterusnya sehingga 2012.

Berikutan itu, katanya, GMP akan bermesyuarat esok atau lusa sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pemansuhan PPSMI itu.

Daulat bahasa Melayu

Ditanya sama ada pemansuhan itu lebih baik dilaksanakan secara serta merta, Hassan berkata:

"Tak usahlah, tak payah begitu. Kita dah enam, tujuh tahun (dalam dasar itu), sekarang sudah kembali sepenuhnya seperti dahulu.

"Apa yang kerajaan perlu buat, ialah tumpu perhatian dengan meningkatkan kaedah pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, bukan bahasa pertama.

"Supaya anak-anak semua kaum mahir bahasa inggeris sebagai bahasa kedua," tambahnya.

Sementara itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut menyambut keputusan kerajaan itu.

"Keputusan itu merupakan satu interpretasi komitmen kerajaan untuk mempertahan dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Ia juga cerminan sikap kerajaan yang bersedia untuk mendengar dan mengambil pertimbangan sewajarnya terhadap suara rakyat," kata satu kenyataan PKPIM.

PKPIM juga berpendapat bahawa keputusan tersebut merupakan keputusan yang bijak serta bertepatan dengan usaha untuk mengukuhkan perpaduan nasional melalui bahasa kebangsaan.

http://www.malaysiakini.com/news/108092

::selanjutnya::

Tuesday, July 7, 2009

Mungkinkah PPSMI dimansuhkan?


Tinggal lagi satu jam sebelum seluruh negara dapat menjawab teka-teki sama ada kerajaan akan memansuhkan atau meneruskan dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ura-ura sejak beberapa hari lalu menunjukkan bahasa Melayu akan kembali dijadikan pengantar dua subjek tersebut.


Bagaimanapun belum pasti sama ada PPSMI akan dimansuhkan di peringkat rendah atau menengah sahaja atau kedua-duanya.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan mengumumkan keputusan jemaah menteri, yang bermesyuarat mingguan pagi ini, jam 2.30 di kementeriannya di Putrajaya.

Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara.

Selain memimpin Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), yang mengepalai demonstrasi besar itu, tokoh sastera Datuk A Samad Said juga menyertai sekumpulan lima Sasterawan Negara membantah dasar itu - mencipta rekod bantahan golongan budayawan Melayu.


Rentetan pelaksanaan PPSMI

19 Julai 2002 - mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Januari 2007 - pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah

Januari 2008 - pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Mei 2009 - kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus buat pertama kali dalam sejarah penentangan dasar kerajaan.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara"

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."

Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan PPSMI ...

http://www.malaysiakini.com/news/108063

::selanjutnya::

Wednesday, July 1, 2009

Siaran Media: “PERHALUSI CADANGAN BIASISWA NASIONAL”


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada cadangan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mewujudkan Biasiswa Nasional di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) baru-baru ini. Biasiswa tersebut dicadangkan untuk diberi berdasarkan merit sepenuhnya. Ini bermakna biasiswa tersebut akan diberikan kepada pelajar berkelayakan yang terbaik tanpa mengira kaum.


PKPIM berpandangan bahawa cadangan tersebut perlu diperhalusi dengan baik dan teliti tanpa menidakkan sedikit pun hak kaum lain untuk memperolehi bantuan tajaan bagi menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi. PKPIM ingin menarik perhatian semua kepada beberapa isu penting yang perlu diberi pertimbangan sewajarnya sebelum bersetuju dengan cadangan mewujudkan Biasiswa Nasional.

Pertama; PKPIM melahirkan kegusaran terhadap masa depan para pelajar Bumiputra yang berada di luar bandar. Perbezaan ketara dapat dilihat di antara kedudukan para pelajar Bandar dan para pelajar luar Bandar dari sudut infrastruktur dan kemudahan pendidikan yang tidak dinafikan, mempengaruhi pencapaian akademik mereka. Dengan segala kekurangan dan kelemahan infrastruktur dan kemudahan pendidikan yang dihadapi oleh para pelajar luar bandar berbanding para pelajar di bandar, adilkah mereka bersaing untuk merebutkan tajaan biasiswa yang ditawarkan?

Kedua; PKPIM ingin memperingatkan tentang kewujudan Perkara 153 Kurungan (2) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan perizapan kuota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya termasuk biasiswa untuk orang Melayu dan Bumiputra bagi mana-mana Negeri Sabah dan Sarawak. Sekalipun, Biasiswa Nasional adalah dibezakan dengan biasiswa JPA sedia ada, namun perlu diingatkan bahawa biasiswa JPA sedia itu juga sudah diperkurangkan kuotanya untuk Bumiputra sehingga tinggal 55 peratus berbanding 90 peratus sebelum ini. Maka, apakah jaminan kerajaan bahawa kebajikan pendidikan para pelajar Bumiputra dapat dijamin?

Ketiga, PKPIM melahirkan kerisauan terhadap tindak tanduk kerajaan yang seolah-olah melatah dengan isu kesamarataan yang dibangkitkan oleh parti pembangkang. Dengan mengambil definasi keadilan sebagai memberikan hak kepada yang berhak, maka adalah perlu untuk kerajaan menilai pemberian biasiswa bukan hanya kepada yang berkelayakan dan terbaik semata-mata, tetapi turut mengambil kira mereka yang berkelayakan dan memerlukan. Bukanlah soal perbezaan kaum yang menjadi persoalan utama sekarang, tetapi soal siapa yang lebih memerlukan tanpa menidakkan keperluan kelayakan yang perlu ada padanya untuk mendapat biasiswa.

Justeru, PKPIM menyarankan kepada kerajaan untuk memberikan tumpuan penuh kepada usaha untuk menaik taraf infrastruktur dan kemudahan pendidikan sekolah-sekolah di kawasan pedalaman yang rata-ratanya dipenuhi oleh mereka yang tidak berkemampuan terlebih dahulu. Jika segala permasalahan pendidikan di sekolah berkenaan telah diselesaikan, maka wajarlah pemberian sebarang keistimewaan dibuka kepada persaingan berasaskan merit.
Dalam perkembangan berkaitan, isu yang melibatkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan juga harus diberi perhatian. Sebaran polisi yang dicadangkan dan diputuskan perlaksanaannya harus menurut peruntukan yang diwartakan.

Oleh yang demikian, prinsip satu Malaysia itu perlu dilaksanakan dan direalisasi berlandaskan lunas undang-undang dan perlembagaan persekutuan. Maka, bagi tujuan pendidikan, kerajaan seharusnya menyalurkan biasiswa penuh kepada seluruh mahasiswa bumiputera memandangkan perkara tersebut adalah salah satu hak yang dijamin oleh undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, tanpa menafikan masa depan pelajar bukan bumiputera, kerajaan turut digesa untuk menyalurkan suatu skim bantuan kewangan khas yang mencukupi kepada mereka yang layak. Untuk tujuan tersebut, kerajaan harus menggalakkan syarikat-syarikat besar untuk membuat pelaburan dalam bidang pendidikan. Dalam masa yang sama, kerajaan juga boleh mengenakan cukai beberapa peratus ke atas keuntungan syarikat besar khusus bagi tujuan pendidikan.

Maka, sudah tiba masanya bagi kerajaan memikirkan pendekatan yang terbaik yang mampu memuaskan hati semua pihak bagi menangani isu biasiswa ini bagi memastikan masyarakat yang seimbang dapat dilahirkan pada masa akan datang. Sementara itu, peruntukan keistimewaan yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan seharusnya terus diambil kira dan dihormati oleh semua pihak terutamanya ketika memutuskan sesuatu dasar.

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ (860813-38-5543)
NAIB PRESIDEN,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Sekretariat PKPIM Pusat,
Jalan Kampung Tengah 7, Kampung Tengah,
Batu 6 1/2, Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur,

::selanjutnya::

Sunday, June 28, 2009

MB Johor : Laksana PPSMI 'tidak beretika'


Tidak wajar sesuatu dasar pendidikan negara – seperti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) – diputuskan berasaskan emosi dan persepsi, tanpa kajian dan perancangan rapi, kata menteri besar Johor.


"Adalah salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya," kata Datuk Abdul Ghani Othman.

"Tidak ada mana-mana negara di dunia ini yang membentuk dasar pendidikannya secara mendadak, tanpa memikirkan kepentingan murid dan kesediaan guru, melainkan Malaysia."

Abdul Ghani, juga pengerusi Permuafakan Badan Ilmiah Nasional (Pembina), mengulas dasar kontroversi tersebut sewaktu merasmikan kolokium mengenai PPSMI anjuran NGO itu di Shah Alam pagi tadi.

Ucapan ringkasnya itu dibacakan oleh Pengerusi Eksekutif Pembina, Datuk Abdul Raof Hussin.

Turut hadir, Prof Diraja Ungku Aziz dan seniman Datuk Jins Samsudin.

Abdul Ghani juga berkata, Pembina berpendirian bahawa sebarang perubahan dasar pendidikan mestilah dibuat berdasarkan perancangan rapi, tidak secara tiba-tiba, serta berlandaskan fakta dan data yang sah.

Tambahnya, kajian badan tersebut – yang disokong ahli akademik dari tujuh universiti awam – mendapati PPSMI menyebabkan berlakunya "kepupusan generasi akibat bertambah ramai murid gagal (dalam matapelajaran) Sains dan Matematik" di pelbagai peringkat.

Sementara Ungku Aziz dalam ucapannya selepas itu menyifatkan masalah dalam sistem pendidikan berlaku disebabkan terlalu banyak kompromi pemimpin politik.

"Banyak pemimpin politik luar dan dalam kabinet tentu hendak mencari kompromi. Orang politik suka berkompromi. Bila banyak komporomi, dia tidak boleh berpikir dengan rasional.

"Tambahan lagi, orang politik hendak cepat. Bagi saya, jalan singkat tidak ada," katanya yang kerap bercerita dan berjenaka dalam ucapannya.

Ungku Aziz menegaskan, tindakan kerajaan memperkenalkan PPSMI enam tahun lalu sebagai "tindakan gila" kerana Matematik menggunakan "bahasa simbol" – melalui angka, nombor dan penggunaan rumus tertentu.

"Apa bahasa matematik? Bahasa simbolik, angka, semua simbol. Matematik ini bahasa simbolik. Kalau guna bahasa Inggeris untuk belajar Matematik, pilih bahasa Inggeris untuk belajar Matematik, (itu tindakan) gila.

"Kalau hendak belajar bahasa Inggeris dengan bahasa matematik, bagaimana boleh belajar?" katanya di hadapan 150 pendidik sekitar Selangor.

Selain menyokong saranan Pembina supaya PPSMI dimansuhkan di semua peringkat, Ungku Aziz mencadangkan masa pengajaran bahasa diajar secara tetap tiga hingga empat jam seminggu, selain menggunakan kaedah pembelajaran terkini.

"Masa untuk belajar bahasa tidak cukup. Itu kunci kepada semua sekali, perkara pokok sekali. Dalam sistem pembelajaran di sekolah rendah, menengah dan universiti, masa untuk belajar bahasa itu diberi sedikit sahaja.

"Pendekatannya pun salah. Banyak orang (pemegang) PhD bawa teori lapuk sepuluh tahun lalu. Dia lupa, apa dia belajar dulu orang lain sudah tukar (hari ini)," katanya.

Pembina pertama kali mengedarkan dan membentangkan kajian PPSMI mereka kepada umum hari ini. Dokumen itu pernah diedarkan kepada peserta Kongres Melayu ke-2 penghujung Mac lalu di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur.

Selain laporan itu setebal 200 halaman, dua lagi kajian berhubung pelaksanaan dasar kontroversi itu yang dihasilkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) turut dibentangkan.

http://malaysiakini.com/news/107357

::selanjutnya::

Friday, June 26, 2009

FADHILAT BULAN REJAB


Bulan Rejab kembali lagi. Ia merupakan bulan yang sangat dimuliakan di dalam Islam. Banyak hadis Rasulullah S.A.W. yang telah diriwayatkan oleh para sahabat Baginda mengenai kelebihan bulan Rejab, bulan ketujuh di dalam kalendar Islam. Rejab bermaksud ta'azim (kebesaran, keagungan, kemuliaan) kerana Allah S.W.T. akan melimpahkan rahmat-Nya, kemurahan-Nya dan Ruangan Bimbingan Rohani kali ini menyorot fadhilat bulan Rejab dan beberapa hadis Rasulullah S.A.W. berkenaan dengannya.


Sabda Nabi s.a.w.: Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab,nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari kiamat.

Sabda Nabi s.a.w.:
Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Sya'aban bulanku & bulan Ramadhan bulan umatku.

Kemuliaan Rejab dengan malam ISRAK MIKRAJnya, Sya'aban dengan malam NISFUnya Ramadhan dengan LAILATUL-QADARnya.

Malam awal Rejab mustajab do'anya.(Dalam Kitab Raudhoh Iman Nawawi)

* Puasa sehari pada bulan Rejab mendapat syurga tertinggi (Firdaus).

* Puasa dua hari dilipatgandakan pahalanya.

* Puasa tiga hari pada bulan Rejab dijadikan parit yang panjang, yang menghalangkan dia keneraka (panjangnya setahun perjalanan).

* Puasa empat hari pada bulan Rejab diafiatkan daripada bala dan daripada penyakit yang besar-besar dan daripada fitnah Dajal di hari kiamat.

* Puasa lima hari pada bulan Rejab, aman daripada azab kubur.

* Puasa enam hari pada bulan Rejab, keluar kubur bercahaya muka.

* Puasa tujuh hari pada bulan Rejab, ditutup daripada tujuh pintu neraka.

* Puasa lapan hari pada bulan Rejab, dibuka baginya lapan pintu syurga.

* Puasa sembilan hari pada bulan Rejab keluar dari kuburnya lalu, MENGUCAP DUA KALIMAH SHAHADAH tidak ditolak dia masuk syurga.

* Puasa 10 hari pada bulan Rejab Allah jadikan baginya hamparan perhentian di Titi Sirotolmustaqim pada tiap-tiap satu batu di hari kiamat.

* Puasa 16 belas hari pada bulan Rejab akan dapat melihat wajah Allah di dalam syurga dan orang yang pertama menziarahi Allah di dalam syurga.

* Puasa 19 belas hari pada bulan Rejab, dibina baginya sebuah mahligai di hadapan mahligai Nabi Allah Ibrahim a.s dan Nabi Allah Adam a.s.

* Puasa 20 hari pada bulan Rejab, diampunkan segala dosanya yang telah lalu. Maka mulailah beramal barang yang tinggi daripada umurnya (pembaharuan umur).

Berkata Saidina Ali:

* Puasa Rejab 13 hari seperti puasa tiga ribu tahun.
* Puasa Rejab 14 hari seperti puasa sepuluh ribu tahun.
* Puasa Rejab 15 hari seperti puasa seratus ribu tahun.

Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Qur'an atas segala Qalam.

Puasa sehari pada bulan Rejab seperti puasa empat puluh tahun dan diberi minum air dari Syurga.

Puasa 10 hari pada bulan Rejab dijadikan dua sayap, terbang seperti kilat di atas Titi Sirotalmustaqim di hari kiamat.

Puasa sehari pada bulan Rejab seperti mengerjakan ibadat seumurnya.

Puasa pada awal Rejab, pertengahannya dan akhirnya seperti puasa sebulan pahalanya.

Bulan Rejab Syahrullah (Bulan Allah), diampunkan dosa orang-orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada Allah. Puasa Bulan Rejab wajib baginya:

* Diampunkan dosanya yang lalu.
* Dipeliharakan Allah umurnya yang tinggal.
* Terlepas dari dahaga di hari kiamat.

Orang yang lemah dari berpuasa pada bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari sekurang-kurangnya sebiji roti. Sasiapa bersedekah pada
bulan Rejab seperti sedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya tiap sehelai bulu ruma jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat, dihapus seribu
kejahatan.

Tiap sehari puasanya pada bulan Rejab dan sedekahnya pada bulan Rejab seperti ibadat seribu Haji dan Umrah. Dibina mahligai seribu bilik dan seribu bidadari, lebih cantik daripada atahari seribu kali.

Bulan Rejab bulan Allah. Bersedekah pada bulan Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka kerana kemuliaan bulan Rejab, Bulan Allah. Allah jadikan di belakang bukit Jabal Qar bumi, yang putih yang penuh dengan
Malaikat dengan panji-panji berhimpun pada tiap malam Rejab meminta ampun oleh mereka kepada Umat Muhammad.

Allah menjawap: Telah aku ampunkan mereka! Barangsiapa meminta ampun (bersitighfar) kepada Allah pagi dan petang 70 kali atau 100 kali, pada bulan
Rejab di haramkan tubuhnya daripada api neraka.

Sesiapa berpuasa sebulan pada bulan Rejab, Allah berseru kepadanya:
"Telah wajib hakmu atasKu, maka mintalah olehmu kepadaKu. Demi ketinggian Ku dankebesaranKu, tidak Aku tolakkan hajatmu. Engkau adalah jiranKu dibawah `arasyKu, engkau kekasihKu daripada segala makhlukKu,
engkau terlebih mulia atasKu. Sukakanlah kamu, tiada dinding antaraKu dan antarakau".(dari kitabRaudatul Ifkar)

Puasa pada 27 bulan Rejab seperti berpuasa enam puluh bulan pahalanya. Jika disertai dengan sedekah seperti puasa seribu tahun, kerana kebesaran hari ISRAK-MIKRAJ.

Siapa melapangkan kekeruhan, kesusahan, kesempitan orang mukmin pada bulan Rejab dikurniakan Allah kepadanya Mahligai yang besar di dalam syurga Firdaus.

Siapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab dan beribadat pada malamnya(berjaga), seperti dia berpuasa tiga ribu tahun.

Diampunkan baginya 70 dosa-dosa besar tiap-tiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawanya daripada jasadnya, 70 hajatnya di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika Qur'an dinaik ketika berlalu di Titi Sirotalmustaqim.

Rejab ertinya ta'zim (kebesaran, keagungan, kemuliaan). (Rahmat, pemurah, kebajikan). Kerana kebesaran, keagungan dan kemuliaan bulan Rejab itu
maka Allah limpahkan rahmatNya, kemurahanNya dan terhadap hamba-hambaNya yang beriman dan beramal solih pada bulan Rejab, dengan berpuasa pada siangnya dan beribadat pada malamnya.

Demikianlah peri keistimewaannya keagungan bulan Rejab itu yang dinamakan dengan BULAN ALLAH.

REJAB bulan menabur benih.
SYA'ABAN bulan menyiram tanaman.
RAMADHAN bulan menuai.

REJAB menyucikan badannya.
SYA'ABAN menyucikan hatinya.
RAMADHAN menyucikan rohnya.

REJAB bulan taubat.
SYA'ABAN bulan muhibbah.
RAMADHAN dilimpahi pahala amalan.

::selanjutnya::

Tuesday, June 23, 2009

PPSMI siap minggu depan?


Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 23 Jun – Setelah hampir enam tahun dilaksanakan, nasib dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang banyak menimbulkan kontroversi akan dapat diketahui dalam waktu terdekat ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, keputusan mengenai PPSMI akan diumumkan awal bulan depan selepas analisis pelaksanaan dasar tersebut dibentangkan kepada Kabinet dalam tempoh terdekat ini.


Katanya, analisis menyeluruh dan kertas mengenai hala tuju PPSMI sudah siap dan akan dibentangkan kepada Kabinet untuk mendapatkan keputusan muktamad mengenainya.

‘‘Saya memberi jaminan bahawa keputusan yang akan diambil oleh kerajaan berhubung dasar PPSMI akan memberi kebaikan kepada murid, guru dan masa depan negara,” katanya yang juga Menteri Pelajaran ketika menjawab soalan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga memikirkan implikasi terhadap kohort murid yang terlibat dalam pelaksanaan dasar itu sejak 2003 hingga sekarang iaitu kelompok murid yang dapat mengikuti dengan baik dan kelompok murid yang sebaliknya.

‘‘Oleh sebab itu sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita mengambil sedikit masa untuk menilai implikasi dasar tersebut daripada pelbagai sudut dan memikirkan cara-cara untuk menambah baik sistem pendidikan negara secara komprehensif,” jelasnya.

Muhyiddin berkata, kerajaan komited memastikan kecemerlangan murid dalam subjek Sains dan Matematik seiring dengan peningkatan penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dan komunikasi antarabangsa.

Pada masa yang sama juga katanya, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan perpaduan di kalangan rakyat akan terus dimartabatkan.

‘‘Sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan, kerajaan akan memastikan komponen bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran akan dipertingkatkan. Kerajaan akan mengambil kira kedua-dua pertimbangan ini dalam membuat keputusan mengenai dasar PPSMI,” katanya.

PPSMI mendapat banyak bantahan daripada pelbagai pihak termasuk bukan Melayu yang bimbang dengan pencapaian pelajar dalam subjek berkenaan khususnya di kalangan pelajar luar bandar.

Malah pejuang bahasa kebangsaan juga melihat PPSMI bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan apabila bahasa Melayu tidak digunakan sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah-sekolah.

Kemuncak terhadap bantahan itu apabila Gerakan Menentang PPSMI (GMP) mengadakan perhimpunan membabitkan kira-kria 5,000 orang yang kemudiannya berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menuntut pemansuhan dasar tersebut.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kementerian memfokuskan kepada usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru dan murid dengan menambah baik latihan guru serta meningkatkan mutu pengajaran serta pembelajaran subjek itu di sekolah.

‘‘Antara langkah yang diambil ialah masa pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah ditambah untuk membolehkan kandungan pengajaran dan pembelajarannya ditambah,” ujarnya.

Menurutnya, langkah itu penting kerana penguasaan bahasa Inggeris yang baik di kalangan murid dan guru merupakan pra syarat utama kepada kejayaan dasar seperti PPSMI.

Tambahnya, kajian kementerian dan pasukan penyelidik bebas daripada institusi pengajian tinggi (IPT) mendapati tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid dan guru secara keseluruhannya berada pada tahap sederhana.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) mengenai PPSMI yang tidak membantu peningkatan terutama di kalangan murid-murid luar bandar, Muhyiddin berkata, semua guru bahasa Inggeris yang dihantar ke luar bandar telah diberikan insentif dalam bentuk elaun.

Mengenai faktor keengganan segelintir guru mengajar di kawasan luar bandar, beliau menjelaskan, ia disebabkan oleh ketiadaan tempat tinggal yang selesa untuk mereka.

::selanjutnya::

Wednesday, June 17, 2009

PKPIM dikunjungi oleh wakil IIFSO


Kuala Lumpur 17 Jun 03:45 p.m | Pada 15 Jun yang lepas, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) hari ini dikunjungi oleh Exco International Islamic Federation of Students Organizations (IIFSO) Dr Ahmed Abdelatti di pejabat Islamic Outreach Abim (IOA), Ampang Hilir, Kuala Lumpur. Kunjungan tersebut dibuat bertujuan untuk berkongsi beberapa agenda besar dan pelan jangka panjang IIFSO pada masa akan datang. Antara agenda besar yang diutarakan wakil berkenaan termasuklah Muktamar yang dijadualkan akan berlangsung pada Oktober depan di Jakarta.

Beliau yang sebelum ini telah melawat beberapa pertubuhan Islam di Malaysia mengakhiri siri lawatan beliau bersama PKPIM sebelum terus bergegas ke pusat World Assembly of Muslim Youth (WAMY) untuk menghadiri suatu mesyuarat.

Dalam pertemuan tersebut, Naib Presiden Antarabangsa PKPIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz telah memberikan penerangan ringkas mengenai PKPIM dan perkembangan gerakan dakwah di Malaysia kepada beliau. Penerangan tersebut disusuli dengan pembentangan oleh wakil berkenaan berhubung beberapa perkara seperti peranan dan perencanaan IIFSO pada masa mendatang serta harapan besar IIFSO kepada Malaysia.

Menurut beliau, IIFSO yang ditubuhkan pada tahun 1968 masih dalam proses untuk aktif semula setelah mengalami masalah dalaman yang menyebabkan pertubuhan pelajar dunia tersebut mengalami kemunduran pada tahun 1995-2005.

Menurut beliau lagi, PKPIM yang merupakan antara pertubuhan tertua yang menganggotai IIFSO perlu terus bergerak bersama-sama di bawah payung kesatuan Islam yang dinaungi IIFSO untuk memastikan matlamat untuk mengembalikan kegemilangan Islam di seluruh dunia dapat dikecapi. Mengambil contoh peranan yang dimainkan mantan pimpinan PKPIM di dalam IIFSO dahulu, peranan yang sama perlu diteruskan bagi memastikan kesinambungan dakwah dan hubungan akrab serta persefahaman yang sekian lama terjalin berkekalan.

Pertemuan tersebut turut disertai beberapa Exco PKPIM seperti M.K Muzammil, Mariati Roslan, Lina Mursyidah Hamzah dan beberapa aktivis lain seperti Muhammad Mu’izzuddin Mustaffar, Mohamad Fairul Mohd Nawawi, dan Naheed Azhari. Pertemuan diakhiri dengan penyerahan cenderamata PKPIM oleh Muhammad Faisal Abdul Aziz kepada wakil berkenaan.

http://mahasiswakini.com/archives/3633

::selanjutnya::

Monday, June 15, 2009

ASAL-USUL MENYEMBAH LEMBU



Juz 1, Surah 2 Al-Baqarah, ayat 67 – 73: Di zaman Nabi Musa terjadi pembunuhan ke atas seorang perempuan. Setelah disiasat untuk mencari pembunuhnya, tidak juga ditemui pembunuhnya. Maka masyarakat Bani Israil menghadapkan perkara ini kepada Nabi Musa. Nabi Musa bertanya kepada Allah untuk mendapatkan penyelesaian.

Maka Allah memerintahkan Bani Israil menyembelih lembu. Mereka balik bertanya kepada Musa lembu yang macam mana? Maka Musa mendapat jawaban dari Allah : lembu tidak tua dan tidak muda. Mereka bertanya lagi apa warnanya? Musa menjawab Allah berfirman : lembu yang kuning tua warnanya dan suka orang melihatnya. Mereka minta penjelasan lagi, maka Allah jawab lembu itu belum pernah dipakai membajak tanah dan tidak pula untuk mengairi tanaman, lembu yang sihat tanpa belang.

Setelah itu disembelihlah seekor lembu betina yang punya syarat-syarat tersebut dan diambil lidahnya buat memukul tubuh simati. Maka terjadi kejutan yang luar biasa, si mati itu hidup semula. Lalu mereka bertanya kepadanya siapa yang membunuh kamu? Perempuan itu menjawab, anak saudaraku yang membunuhku kerana dia mahu lembu betina yang cantik itu.

Kejutan ini memberi kesan kepada sebahagian orang dari Bani Israil bahawasanya tuhan menjelma di dalam lembu dan lidah lembu boleh menghidupkan orang mati. Ia menjadi satu doktrin bagi Musa Samiri yang mana ketika Nabi Allah Musa pergi munajat ke Tursina, maka Samiri mencipta patung lembu daripada tembikar yang mulutnya ternganga. Ketika mana angin bertiup kencang, berbunyilah suara seperti lembu itu mengembu: ooooo. Maka Musa Samiri menyesatkan manusia dengan doktrin jelmaan tuhan dalam tubuh lembu.

Setelah Nabi Musa turun dari Tursina, ia murka. Juz 1 surah 2 al Baqarah ayat 54: Nabi Musa perintahkan mereka bertaubat. Taubat mereka hanya akan diterima Allah dengan membunuh diri mereka sendiri. Taubat bagi mereka yang syirik pada Allah dengan menyembah lembu ialah dengan membunuh diri sendiri. Lembu yang disembah, dibakar dan dibuang habunya ke laut. Juz 16, surah 20 thaaha ayat 97. Akhirnya doktrin membakar lembu ini berubah kepada membakar mayat oleh penganut agama Hindu.

Doktrin jelmaan tuhan dalam lembu ini menjadi ajaran sesat di kalangan Bani Israil tetapi tidak mendapat tempat di sana sebaliknya berpindah ke India. Hingga berkembang biak membesar menjadikan orang Hindu bertuhankan lembu.

Rupa-rupanya mukjizat menjadikan untuk sebahagian orang sebagai ujian dan ada yang bertambah kafir dengan Allah seperti mukjizat lidah lembu yang digunakan untuk memukul mayat wanita sehingga ia hidup semula.

Mereka yang syirik tidak nampak kekuasaan Allah secara telus dengan mukjizat ini. Pandangan mereka tersekat sampai kepada lidah lembu sahaja.

Akhirnya mereka menganggap tuhan menjelma dalam tubuh lembu. Ajaran ini berkembang di India. Ajaran bertuhan kepada lembu itu adalah ajaran Musa Samiri. Oleh itu tidak hairanlah Yahudi menjadikan Mumbai sebagai Markasnya seperti yang terbongkar ketika serangan mujahidin Dekkan tahun 2008.

Doktrin yang sama terjadi di kalangan kaum Salib yang menganggap Isa anak Allah. Ini adalah akibat daripada mereka terkejut besar melihat mukjizat Nabi Isa yang dapat mencipta burung daripada tanah liat, menyembuhkan orang yang menghidap penyakit kusta, buta, turun hidangan dari langit dan lain-lain.

Kejutan besar ini mencetuskan semula doktrin jelmaan tuhan tapi tidak kepada lembu sebaliknya kepada Nabi Isa yang mengakibatkan mereka jadi syirik dan kufur sebagaimana Musa Samiri syirik dan kufur.

MENYEMBAH MANUSIA

Firaun mengaku dirinya tuhan. Barangsiapa tidak menyembahnya, Firaun menganggapnya kafir. Tetapi kalau ada orang mengaku tuhan pada hari ini ia akan diketawakan. Namun jangan menganggap ajaran ini sudah hapus. Ajaran ini muncul dalam bentuk baru. Iaitu di negara-negara beraja, raja wajib ditaati. Barangsiapa mendurhakai raja dia boleh dihukum bunuh.

Maka dipersiapkan undang-undang yang dipersetujui oleh parlimen di negara beraja dan susunan undang-undangnya termaktub dalam perlembagaan dan bentuk pelaksanaannya disalurkan ke mahkamah. Maka barangsiapa menentang raja, menentang perlembagaan dan menentang undang-undang yang mereka cipta sendiri, ia dikira durhaka.

Dalam hal tertentu boleh sampai kepada hukum bunuh, buang negeri dan kerakyatan atau penjara seumur hidup. Bukankah hal ini sama dengan hukum Firaun, hukum Namrud dan hukum Darqiyunus. Cuma alasan yang diberi ialah tidak patuh kepada undang-undang, tidak patuh kepada perlembagaan dan tidak patuh kepada raja.

Contohnya seperti Muhammad Amin, Zahid dari kelompok Al Maunah yang dihukum gantung sampai mati atas alasan mendurhakai raja. Di Britain ada seorang wanita yang dipenjara seumur hidup sejak umur belasan tahun kerana mencerca Queen Elizabeth secara berhadap-hadapan.

Raja-raja pada hari ini tidak mengaku tuhan. Kalau ia mengaku tuhan diketawakan orang. Tapi undang-undang perlembagaan dan dia sendiri mahu rakyat mematuhinya seperti mahunya Firaun disembah oleh rakyatnya. Di sanalah letaknya syirik dan kufur.

Di negara yang pakai presiden yang diangkat secara demokrasi seperti Indonesia, kekufuran itu terjadi dengan cara yang lebih halus iaitu presiden mengeluarkan dekrit (perintah) rakyat mesti patuh kepada pancasila. Barangsiapa tidak patuh kepada pancasila boleh dipenjara tanpa had dan mereka mengguna istilah menentang negara atau dalam bahasa agama disebut bughot (pemberontak).

Di sana tidak nampak istilah presiden sebagai tuhan tetapi tersembunyi di sana pengakuannya sebagai tuhan dalam dekrit yang dikeluarkan supaya patuh kepada doktrin pancasila yang merupakan pengganti rukun iman maka seorang muslim yang beriman dengan enam rukun iman tetapi dalam masa yang sama juga mempercayai pancasila maka ia terjatuh ke dalam lembah syirik.

Ini adalah syirik yang lebih halus dan sulit mengesannya kecuali mereka yang mempunyai ketajaman mata hati yang diberi INKISYAF oleh Allah.

Dalam hal ini kita dapat lihat empat bentuk syirik:

1. Kepercayaan jelmaan tuhan didalam tubuh lembu. Ini adalah hal yang sangat jelas syirik, tetapi dipegang oleh beratus juta manusia di India.

2. Jelmaan tuhan dalam tubuh manusia seperti yang di yakini kaum salib. Ini kurang bodoh sedikit daripada yang pertama tetapi jumlah pengikutnya lebih banyak daripada yang pertama.

3. Bertuhan kepada raja dengan berlindung disebalik perlembagaan dan undang-undang. Hal ini tidak disedari menjadi syirik oleh kebanyakan orang hatta orang para ilmuan sekali pun.

4. Syirik kerana mengalih ketaatan daripada manusia kepada doktrin ciptaan manusia. padahal di belakangnya ada manusia yang bergelar presiden yang memaksa manusia untuk tunduk kepada berhala doktrin yang bernama pancasila.

Semua kesyirikan ini akan dihapus oleh Al Mahdi dalam usaha membersihkan dunia daripada syirik. Itulah kemenangan yang luar biasa yang akan dimiliki oleh Al Mahdi sebagaimana Nabi Muhammad menghapus 360 berhala di sekeliling Kaabah dan mengalahkan Yahudi dan Nasoro di Madinah dan di tanah Rom yang mana perjuangan ini diteruskan oleh Khulafa’urasyidin Al Mahdiyin iaitu Abu Bakar, Umar, Osman, Ali dan Imamul Mahdi.

Abu Bakar Abd. Halim
Biro Dakwah & Tarbiah,
PKPIM-KUIS

::selanjutnya::
 

Copyright March 2009 Designed By : SyahiranMuhd Revolution Two Church theme by Brian Gardner Converted into Blogger Template by Bloganol dot com